Asal Usul
Hingga ke hari ini belum dapat dipastikan dengan tepat bilakah Permainan Rodat ini bermula di Terengganu. Mengikut para-para guru rodat di Terengganu, asal Rodat yang sebenarnya ialah dari Timur Tengah. Ini berdasarkan lagu-lagu yang dinyanyikan adalah disalin daripada Kitab Hadrah, begitu juga dengan Rebana Tar yang digunakan hampir sama dengan rebana Hadrah … (3). Sebelum tiba di Terengganu, rodat ini dipercayai dibawa oleh pedagang-pedagang dari Pulau Sambas di Borneo. … "Very few of the instructor of performers had any idea of the origin of the performance, but in one or two cases it was recalled that years ago natives of Sambas in Borneo used to come anually in the fine weather for trading, and that during their stay in Terengganu they used to dance the 'Rodat' …The dance had proved popular and the local people had learn it from the traders … " (4).
Mengikut pengarang Mastika Ogos 1967 mengatakan lebih kurang 50-60 tahun dahulu Tarian Rodat ini dibawa oleh pedagang-pedagang Sambas dan Pontianak ke Terengganu. Mereka ini datang ke Terengganu untuk membeli budu, kain songket, benang emas, perkakas tenunan dan lain-lain. Mereka belayar dengan perahu besar. Tiba di Teluk Terengganu bila hari malam anak-anak kapal Sambas ini pun berkumpulan 10 - 20 orang sambil memukul rebana kecil yang memang mereka bawa belayar bersama-sama dan menyanyilah mereka sambil menari hingga jauh malam. Suara yang lunak lembut semakin larut semakin menjolok perasaan telah menarik perhatian penduduk-penduduk pantai Kuala Terengganu, bahkan menarik mereka menghampiri perahu-perahu besar Sambas itu. Dari sinilah mereka mula belajar Rodat. (5).
Tetapi menurut seorang Tok Guru Rodak Encik Salleh bin Musa ( 56 tahun ) mengatakan lebih kurang 70 -80 tahun lepas pedagang-pedagang kain dari Terengganu iaitu Muhammad Kepak, Cik Udun dan Abdullah Pepeh merupakan tokoh-tokoh yang membawa balik pelajaran Rodat ini yang dipelajari di Sambas. Mereka inilah yang memulakan Permainan Rodat di Terengganu khasnya di Kampung Pasir Panjang. Muhammad Kepak berperanan sebagai Tukang Adi, Cik Udin sebagai Orang Nenggak dan Abdullah Pepeh sebagai penghafal lagu-lagunya. Mulai dari ini tersebarlah permainan rodat ke seluruh negeri Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan