Pulau Redang adalah salah satu pulau yang terbesar dan yang tercantik di pantai timur Malaysia. Pulau ini kini merupakan sebuah pulau peranginan yang amat popular di kalangan orang Malaysia, dengan kebanyakan mereka yang datang melalui pakej pelancongan. Salah satu pantai yang paling cantik di pulau ini ialah Pasir Panjang. Pasirnya putih dan airnya jernih, dengan batu karang dan ikan terdapat hanya beberapa meter dari tepi pantai. Antara kemudahan di pulau ini ialah kegiatan snorkel dan junam.
Pulau Redang boleh dikunjungi melalui Merang atau Kuala Trengganu dengan bot-bot yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat peranginan di sini. Jaraknya dari jeti Kampung Penarik ialah 30 kilometer nautika. Terdapat juga sebuah lapangan terbang kecil di pulau ini.
Sejarah
Pada 1851, Abdullah Abdul Kadir Munshi pernah menceritakan hal Pulau Redang :- "Hatta pada malam Khamis datanglah sebuah perahu kecil dari Kuantan. Maka berkhabarlah ia kepada anak-anak perahu mengatakan ada perahu lanun di Tanjung Tujuh, empat puluh buah dan di Pulau Kapas pun ada, dan di Pulau Redang pun ada dan; maka telah didapati dua buah perahu orang Kuantan dan dua buah lepas lari...."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan